99 nama allah

TUTUR KATA BERCAKAP BAHASA

3/30/2009 11:42:00 PG / / comments (0)



Berjalan aku di lorong pertiwi
Terdengar bisik pelbagai cerita
Adakah aku pejuang bangsa?

Semalam aku sedari
Sejernih bahasa telah digauli
Toksik pencemarnya mula menular
Antara kata setempat tutur merempat

Di setiap cita-cita dilaungkan
Tuturku tak mungkin tergugat
Oleh hambatan bahasa hebat
Tamadun kitalah akan tergerak ke depan
Namun, kataku tersekat lagi
Tragedi pengkhianat setempat

Kuteruskan tutur dengan kata semangat
Menjalin bahasa dengan percakapan yang erat
Setiap detik kupertahankan niat
Terasa tuturku semakin tenat
Menjadi dwi martabat yang sesat.

Tutur kata bercakap bahasa
Maruah adat cerminan budaya
Ini milik yang harus dijaga
Tergadai bahasa terlelong bangsa!

Shamsul Idzam Jamil 30 mac 2009.

Bahtera Serumpun

3/23/2009 01:45:00 PTG / / comments (3)



Kusingkap tirai sejarah lalu
Bahtera yang menghimpun segala rupa
Mengungkai rencam pelbagai budaya
Mengungkap segenap duka dan lara
Belayar tekad berumpun iktikad
Mengibarkan perpaduan di laut peradaban
Diterajui nakhoda berjiwa waja
Beriman takwa berilmu cendekia.

Kujejaki bahtera itu
Terpegunku melihat keharmonian
Pelbagai kaum berdiri di sini
Bersatu megah memartabatkan maruah
Membanting semangat mengangkat cemerlang
Mengukir matlamat melakar gemilang
Menyiram azam menyubur bangsa terbilang
Demi mengukuhkan bahtera serumpun
Berteraskan kemajuan dalam kedamaian.

Kuterus belayar
Bersama penghuni bahtera itu
Bersatu kudrat mengayuh keringat
Memajukan bahtera melayarkan ke hadapan
Menempuh gelombang globalisasi
Untuk mengejar cita dan visi
Demi mencapai satu inspirasi
Menjadi bekalan di kemudian hari.

Sekalipun pernah tergoncang oleh taufan ancaman
Bahtera itu tetap kembali seimbang
Dikemudi oleh nakhoda berwibawa dan tenang
Memegang pada satu prinsip
Tali biar kukuh
Sauh biar tegar
Berlabuh biar teguh
Belayar biar pintar.

Kini bahtera itu semakin utuh
Dengan kebijaksanaan nakhodanya
Mengemudi menyusuri arus wawasan
Singgah berlabuh di pulau kejayaan
Bersama digerakkan oleh penghuni setia
Tekun berganding mengibarkan layar bahtera
Berjalur merah darah keringat penghuninya
Kuning bulan dan bintang mercu kedaulatannya
Berlatarkan biru membentuk satu perpaduan
Dihampari putih lambang bersih dan suci
Inilah bahtera Malaysia tercinta.

Shamsul Idzam Jamil
Petra Jaya Kuching Sarawak.
27.10.2004

Tanah tumpah dan hijrah sejarah

3/23/2009 12:54:00 PTG / / comments (0)


Terbentuk asal ditelusuri komuniti
Mencorak sejarah peradaban
Dilingkari garis geografi dan sosial
Mencoret putih kehidupan
Dengan warna bahasa dan budaya
Melakar arca ketamadunan
Dari tanah tumpah dan hijrah sejarah.

Cerita migrasi dari seberang ke seberang
Membentuk Gugusan pemerintahan
Dari petani, pelayar dan pedagang
Menjadi pemangkin kewujudan bangsa
Melengkapi corak pemikiran hadapan
Dalam perkaitan ruang sarwajagat
Mencurah semangat patriotisme
Dari idea tentang kemajuan
Yang semakin wujud berabad.

Cekal semangat dalam ruang sosial
Menjadi adab kebangkitan perpaduan jitu
Bergerak meluas harapan
Di terajui generasi berwawasan tinggi
Mengembalikan kegemilangan sejarah
Meneroka alam kehidupan yang baharu.

Degup nadi nafas berhembus
Menyusuri sepanjang sungai Sarawak
Mengkhabarkan kemunculan Bandar Raya Taman
Yang menyejukkan samudera hangat
Merentangi hala masyrik dan maghrib
Bersama satu semangat nusa
Menjadi lorong keamanan negara.

Harapan dan impian bakti
Bertunjangkan kesedaran hakiki
Teras agama, bangsa dan budaya
Mendepani bahtera keagungan susila
Menyerap visi ilmu bestari
Ke arah dunia realiti terkini
Yang semakin rancak dengan teknologi.

Tegak kalimat pertiwi
Kukuh semangat globalisasi
Mantap keramat hadhari
Kuching Bandar raya tradisi!

Shamsul Idzam Jamil. 2008

Semboyan Untuk bangsaku

3/23/2009 12:50:00 PTG / / comments (0)


Korekan perdu akar ketelanjangan
Menyentap ukiran tunjang yang benam,
Di tanah subur menjalar denyut nadi
Menyerap benih asal semarak rumpun bakti
Mengisi lopong tautan akar berkait tradisi
Tinggalan kelongsong pasca kolonialisme
Tercorakkah adab sejarah agung jitu
Terkenang akhir zaman pengalaman?

Gagah-gagah yang megah
Bacul-bacul yang sekongkol
Mendesah angin sejarah peradaban
Putaran sandiwara cerita yang bermula
Dari jajah petah mengolah kata-kata sergah
Hingga cucu bertatih meningkah kata-kata dalih
Betapa jerit perih menggetar
Rintihan desa dirobek sengketa
Sanubari terpendam di dasar mahligai pusaka!

Mengukur waktu pada detik dan musim
Berdiri tugu perjuangan jasad hayat
Memapar semangat ghairah firasat.
Pewira, bukan sekadar bebas terjajah
Pejuang, merdekakan rohani dan alam fikrah
Melega kegusaran lonjatan budaya
Melerai galang adat yang tersekat
Memupuk kasih perpaduan bangsa
Mampukah membangun sahsiah terdidik?

Lahir generasiku di perut bumi setia ini
Menggalas wawasan sejati
Membentuk tamadun sejarah terbilang
Dari semboyan pusara pejuang
Yang menyubur tanah dengan darah
Yang menyiram semangat dengan titis keringat
Untuk menabur bakti pertiwi
Demi mempertahan maruah dari cakar helang
Dengan menggema suara-suara merpati
Menggubah nada harmoni di daerah majmuk.

Majulah wahai anak-anak bangsa
Bangkitlah dari digelungi mimpi-mimpi!

Shamsul Idzam Jamil 2008

Sarawak Citra Bangsa Terbilang

3/23/2009 12:34:00 PTG / / comments (0)


Atas dasar semangat bangsa
Kami mengorak langkah cabaran
Mencorak pencak perjuangan
Dengan gerak tangkas budaya
Seni pemikiran ke hadapan
Menepis anasir hasutan dan godaan
Dalam persaingan arus permodenan
Yang berligat rancak di peradaban.

Mengalirnya darah pahlawan di puncak sejarah
Bersama tradisi temurun menjadi pegangan
Nusa semakin megah membangun
Memelihara teratai adat dan matlamat
Menghiasi kolam globalisasi
Agar keindahan taman budayanya
Menyinar kilaunya ke seantero jagat.

Ketekalan tari perpaduan
Menyimpul lenggok transformasi keakraban
Terhasil kombinasi seni bermuasyarah
Melakar aspek gaya kehidupan
Mencapai cita-cita negara
Yang inginkan kelancaran kemajuan
Mendamba keteguhan perpaduan masyarakat.

Empat puluh lima tahun
Mendewasakan pengalaman di pentas pemodenan
Merapi perancangan pembinaan tamadun
Membentuk ketrampilan bangsa majmuk
Mengukuh persaingan di pentas globalisasi
Dengan menegak tiang teknologi maklumat
Gerak komunikasi dilancar pantas
Meluas hala tuju dasar dan wawasan.

Pupukan tradisi warga bersatu
Menjadi teras pembentukan negeri tercinta
Memotivasi penggalakan budaya ilmu
Untuk mengaktif jentera kemahiran
Mengawal kestabilan pembangunan
Dalam prasarana yang canggih dan dinamik
Membina mercu tugu kecemerlangan.

Mantapnya tunjang perpaduan
Mendukung budaya menjulang tradisi
Memupuk keharmonian mengukuh kesejahteraan
Menyulam adat menganyam resam
Menyaji wadah menadah maruah
Menguat tekad mencapai matlamat
Seiring masyarakat bersatu padu
Terciptalah Sarawak
Citra bangsa terbilang.

Shamsul Idzam Jamil 2008
(Mazdi_lusmahs)

Duka Semalam

3/17/2009 04:20:00 PTG / / comments (0)


Duka semalam menerjal simpati
Mencarik ego terkurik
Di rimbunan hasrat melebat kesal
Luruh satu persatu iktibar batin
Menjunam ke dasar sasar
Berselerakan daun-daun hala
Bertaburan benih-benih impian
Di taman persinggahan ciptaan Abadi


19/12/2006

“Ku” Pungguk

3/17/2009 04:02:00 PTG / / comments (0)


Ku renung jauh
Dan…
Merenung nun jauh…
Ku pungguk tak usai mengeluh
Pada penantian yang jenuh.

Bayu mendesir di ruang senja
Ranting gemerlap di sinar bulan.
Bahagiakah “Ku” Pungguk
Mabuk terkantuk asmara
Di dahan tertahan perasaan.


Shamsul Idzam Jamil
Kem El-Azzhar
9/12/2006