99 nama allah

Bahtera Serumpun

3/23/2009 01:45:00 PTG / /



Kusingkap tirai sejarah lalu
Bahtera yang menghimpun segala rupa
Mengungkai rencam pelbagai budaya
Mengungkap segenap duka dan lara
Belayar tekad berumpun iktikad
Mengibarkan perpaduan di laut peradaban
Diterajui nakhoda berjiwa waja
Beriman takwa berilmu cendekia.

Kujejaki bahtera itu
Terpegunku melihat keharmonian
Pelbagai kaum berdiri di sini
Bersatu megah memartabatkan maruah
Membanting semangat mengangkat cemerlang
Mengukir matlamat melakar gemilang
Menyiram azam menyubur bangsa terbilang
Demi mengukuhkan bahtera serumpun
Berteraskan kemajuan dalam kedamaian.

Kuterus belayar
Bersama penghuni bahtera itu
Bersatu kudrat mengayuh keringat
Memajukan bahtera melayarkan ke hadapan
Menempuh gelombang globalisasi
Untuk mengejar cita dan visi
Demi mencapai satu inspirasi
Menjadi bekalan di kemudian hari.

Sekalipun pernah tergoncang oleh taufan ancaman
Bahtera itu tetap kembali seimbang
Dikemudi oleh nakhoda berwibawa dan tenang
Memegang pada satu prinsip
Tali biar kukuh
Sauh biar tegar
Berlabuh biar teguh
Belayar biar pintar.

Kini bahtera itu semakin utuh
Dengan kebijaksanaan nakhodanya
Mengemudi menyusuri arus wawasan
Singgah berlabuh di pulau kejayaan
Bersama digerakkan oleh penghuni setia
Tekun berganding mengibarkan layar bahtera
Berjalur merah darah keringat penghuninya
Kuning bulan dan bintang mercu kedaulatannya
Berlatarkan biru membentuk satu perpaduan
Dihampari putih lambang bersih dan suci
Inilah bahtera Malaysia tercinta.

Shamsul Idzam Jamil
Petra Jaya Kuching Sarawak.
27.10.2004

3 comments:

Comment by OSMAN BIN ZAINI on 25 Mac 2009 pada 12:06 PG

salam sastera..
sama - sama kita memertabatkan sastera Melayu agung kita ini. Perkasakan bahasa Melayu,budaya dan adat indah dan agung kita ini. kalau ada masa lawatilah laman blog saya ...
http://www.osmanzainijiwamelayu.blogspot.com/

Comment by Kambing Gaok on 27 Mac 2009 pada 11:31 PG

Terima kasih kerana sudi menjenguk. Saya akan lawati blog saudara.

Comment by Farmilla Hamdi on 17 April 2009 pada 11:17 PG

Jangan berenti nulis...

Catat Ulasan